Artikel

Pasca pilihan raya Presiden AS: Apa pelan kotingensi Malaysia?

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat yang memihak kepada Donald Trump, dilihat akan mencetuskan dimensi baharu kepada corak perubahan ekonomi dunia dengan dasar-dasar yang akan diperkenalkan Trump.

Penganalisis Ekonomi, Dato’ Dr Nazri Khan, berkata keperluan untuk Malaysia mengadakan pelan kotigensi bagi mendepani sebarang kemungkinan yang akan dicetuskan oleh Trump, adalah dengan memantau tindakan yang akan dilakukannya.

Langkah itu bertujuan untuk negara berhati-hati dengan sebarang tindakan yang akan dilakukan Trump yang boleh menjerat ekonomi negara, atas dasar yang berubah-ubah yang akan dilakukan Trump.

“Ini kerana, kadang-kadang sebelum pilihan raya, cerita lain. Selepas pilihan raya, janji lain pula yang berlaku. Manifesto dia boleh berubah-ubah. Jadi, kita kena pantau apa yang dia akan lakukan, kemudian barulah kita keluar dengan pelan kotigensi.

“Saya yakin, Perdana Menteri sudah ada pelan kotigensinya sendiri daripada bahasa tubuh beliau serta tindakan yang beliau lakukan sudah menampakkan kotigensi. Tetapi, jika saya sebagai penasihat kepada Perdana Menteri, apa yang saya akan perkatakan adalah, kurangkan pergantungan kita kepada Amerika Syarikat sebagai destinasi eksport dan Pelaburan Langsung Asing (FDI),” katanya.

Jelas beliau, pelan kotigensi yang terbaik untuk Malaysia adalah intra-ASEAN dengan menggalakkan dagangan antara negara-negara ASEAN dan kurangkan persaingan ekonomi.

Katanya, tindakan terlalu bergantung kepada FDI menyebabkan berlakunya persaingan antara negara-negara ASEAN, berbanding merapatkan hubungan pelaburan dan dagangan antara satu sama lain.

“Kita bersaingan dengan Vietnam, Indonesia, Singapura, sedangkan kita boleh tingkatkan pelaburan dan dagangan sesama sendiri. ASEAN ini banyak bergantung kepada eksport komoditi, ini cuma model-model lama.

“Kita kena buat transformasi ekonomi dengan lebih laju agar tidak bergantung kepada Amerika Syarikat. Saya rasa cabaran yang paling penting sekarang ini adalah kawal cabaran diplomatik. Maksudnya, kita kena pilih mahu bekerjasama dengan Amerika Syarikat atau China,” katanya yang mencadangkan agar Malaysia jadikan situasi antara Jepun dan Amerika Syarikat sekitar tahun 1980-an sebagai pengajaran.

share it :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

en_US