KUALA LUMPUR, 19 Dis – Ramai yang beranggapan untuk menjadi seorang trader memerlukan masa sepanjang hari bagi meneliti turun naik pasaran untuk berdagang.
Hakikatnya, jelas Pakar Pelaburan Bertauliah, Dato’ Dr Nazri Khan, masa yang diperlukan hanyalah singkat, untuk berdagang di pasaran antarabangsa seperti di Amerika Syarikat.
“Ramai orang tidak tahu, sebab menyangka boleh trade setiap masa. Nak jadi trader perlukan power hour di mana untuk pasaran Bursa Malaysia, waktunya sekitar jam 9 hingga 10 pagi. Manakala, pasaran US adalah 30 minit selepas pasaran dibuka sekitar jam 10 malam.
“Power hour ini kalau kita nak jadi day trader, bermaksud kita boleh jual dalam masa beberapa minit dalam waktu yang boleh dipercayai. Kalau kita trade di pasaran Jepun, mungkin waktunya sekitar jam 7 pagi, dan kalau di India mungkin jam 12 tengah hari,” jelasnya.
Beliau berkata, kegagalan memahami waktu yang sesuai dan beranggapan boleh berdagang pada bila-bila masa adalah tanggapan yang tidak tepat, meskipun ia boleh dilakukan.
“Ramai pelajar saya trade pasaran Eropah dan mereka perlu berada sekitar jam 4 hingga 4.30 petang sahaja untuk trade. Jadi, kita tidak perlu berada lapan jam di depan komputer dan tak perlu banyak masa pun untuk trade.
“Bagi saya sendiri, kita nak habiskan misi dalam tempoh 30 minit yang pertama sahaja selepas pasaran dibuka. Bila berjaya trade, lepas lima minit terus keluar. Kalau tak boleh trade, tunggu 30 minit kemudian,” katanya.
Tambah beliau lagi, modal bukan satu bebanan kerana kebanyakkan broker membenarkan untuk berdagang serendah USD10 ke USD100.





