KUALA LUMPUR, 27 Nov – Presiden Amerika Syarikat yang baharu, Donald Trump baru-baru ini mengumumkan pelantikan Elon Musk sebagai Ketua Jabatan Kecekapan Kerajaan, yang dilihat akan melonjakkan lagi saham syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) itu.
Menurut Penganalisis Ekonomi, Dato’ Dr Nazri Khan, pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc itu bagaikan memberi bayangan mengenai pembabitan Musk dalam arena politik, sekaligus membawa beliau untuk menduduki kerusi nombor satu negara Uncle Sam itu.
“Itu (pelantikan) pun dah memberi limpah besar kepada saham-saham Tesla. Dua ke tiga hari sebelum Trump menang, saham Tesla sudah meletup. Jadi, apa lagi sekarang dia dilantik dalam kerajaan pimpinan Trump.
“Kita tengok nanti apa yang dia (Musk) boleh buat. Saya tak tahu, mungkin NASA akan ditukarkan kepada SpaceX. Saya yakin, Musk seorang yang sangat bijak, jadi, apa agenda sebenar dia, saya harap tanggapan saya ini betul, mungkin dia sedang meletakkan diri dia untuk menjadi calon Presiden pada masa depan selepas Trump,” katanya.
Jelas beliau, tindakan Trump itu bukan sahaja memberi impak kepada saham-saham Tesla, tetapi turut memberi kesan ekonomi kepada negara-negara yang menjalin kerjasama dengan syarikat EV tersebut termasuk Malaysia.
“Tindakan beliau sama seperti di awal pembabitan Trump dalam arena politik. Ini akan memberi kesan ke atas legasi beliau seperti Tesla, SpaceX, X, PayPal dan macam-macam lagi yang akan melonjak dalam pasaran.
“Pelantikan semula Trump ini juga dilihat memberi rahmat kepada USD yang semakin kuat, dengan membawa balik kilang-kilang Amerika Syarikat, produk-produk bank dan ‘menendang’ keluar semua produk-produk luar terutama dari China dan Mexico, akan memberikan lebih kekuatan kepada USD,” katanya.
Beliau menambah, dari segi teori matawang USD akan lebih kuat dengan peningkatan tarif serta berlakunya perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China serta Rusia, menyebabkan mata wang asing melemah. Ini dilihat sebagai petanda akan berlakunya peningkatan inflasi.





