KUALA LUMPUR, 12 Nov – Kewujudan terma baharu bagi mengkelaskan pendapatan isi rumah di Malaysia, menjadi perdebatan mengenai pentafsiran siapa sebenarnya yang dimaksudkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai T15.
Mengulas mengenai takrifan terbaharu itu, Penganalisis Ekonomi, Dato Dr Nazri Khan, berpendapat golongan tersebut lebih menjurus kepada 15 peratus rakyat yang berpendapatan dianggap sebagai ‘maha kaya’.
Jelas beliau, takrifan itu mungkin merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan lebih RM15,000 atau RM20,000 sebulan yang turut menikmati subsidi daripada kerajaan.
“Saya tidak mahu kerajaan terlampau memfokuskan kepada sasaran yang merupakan orang kaya. Saya rasa tidak adalah sampai 15 peratus sebab golongan ini tidak sampai 5 peratus pun. Terma T15 ini juga tidak tepat kalau kita menggunakan gaji isi rumah sahaja.
“Kita kena fokus kepada indikator lain seperti gaya hidup, berapa banyak kereta mewah dia ada, berapa bil utiliti setiap bulan, sebab masalah di Malaysia ini bagi saya, ramai orang kaya yang kita tidak tahu sebenarnya dia kaya, dan mereka tidak membayar cukai kerana mereka ini adalah golongan shadow economy (ekonomi bayangan),” katanya.
Tambah beliau, pendapatan golongan tersebut tidak tercatat dalam statistik pembayar cukai dan dianggarkan RM300 bilion keseluruhan pendapatan golongan terbabit.
Katanya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.9 peratus yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, mungkin mampu dicapai lebih daripada itu sekiranya golongan yang dimaksudkan sebagai T15 ini menjadi pembayar cukai.
“Bila ada sempadan sebegini, golongan M40 dan T20 akan terkesan. Apatah lagi jika Donald Trump menang pilihan raya Amerika Syarikat, pelbagai tekanan akan diberikan kepada negara luar termasuk peningkatan tarif, peluang pekerjaan serta pelaburan akan berkurangan.
“Ini akan memberi kesan kepada Malaysia dan golongan M40 dan T20 akan rasa tertekan. Walaupun saya tidak pasti siapa yang dimaksudkan golongan maha kaya ini, tetapi terma ini (T15) mungkin kena perbetulkan,” katanya.





