Normalisasi kewangan digital seperti QR pay, pay later, e-Dompet dan sebagai sudah menjadi sebahagian daripada aturan perbelanjaan harian sejak tercetusnya pandemik COVID-19. Penggunaannya semakin meluas bukan sahaja di premis perniagaan, sebaliknya turut menjadi pilihan peniaga-pening gerai, pasar borong dan pasar malam.
Pendekatan yang efisien dan praktikal ini memudahkan pengguna dan peniaga tanpa perlu memikirkan jumlah wang tunai yang perlu dibawa dan dapat mengelakkan keciciran dompet atau wang fizikal. Tetapi apa relevannya kewangan digital ini? Apa pula kesannya kepada pengamal wang fizikal seperti warga emas dan penduduk di kawasan pedalaman, yang kurang menggunakan teknologi?
Di rantau asia tenggara, Singapura sudah melaksanakan bank digital pertama yang menguruskan transaksi kewangan secara digital termasuk pembiayaan kepada usahawan dan peniaga sejak tahun 2022 (https://www.bharian.com.my/amp/dunia/asean/2022/06/962549/bank-digital-pertama-mulakan-operasi-di-singapura). Ini menunjukkan komitmen negara Kota Singa itu untuk melaksanakan kewangan digital yang memudahkan rakyatnya.
Seiring dengan perkembagan tersebut, Malaysia juga sudah mengorak langkah dengan penyediaan platform kewangan digital menerusi aplikasi telefon pintar dan peranti tablet mudah alih bagi keselesaan pengguna. Bahkan sudah memiliki bank digital Islam pertama menerusi AEON Bank yang dilancarkan tahun lalu, (https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/amp/bisnes/korporat/2024/05/1251527/bank-digital-islam-pertama-malaysia-aeon-bank-dilancarkan) yang bertujuan untuk memberi pengalaman mengakses kewangan yang lebih mudah dan selesa kepada pelanggan.
Namun, sejauh mana kewangan digital ini terjamin dan selamat? Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan Pelan Sektor Kewangan 2022 – 2026 yang turut menggariskan mengenai keselamatan kewangan digital, dengan memperkukuhkan kesediaan dan tindak balas keselamatan siber (https://www.bnm.gov.my/documents/20124/5915429/fsb3_bm_s3.pdf). Ini akan memberikan jaminan kepada transaksi kewangan dan pengurusan digital yang lebih cekap dan selamat.
Pelaburan kewangan digital
Secara dasarnya, kewangan digital sudah lama dipraktikkan menerusi pelaburan saham digital seperti bitcoin, cripto dan trading yang menguruskan pembelian dan penjualan saham itu secara dalam talian dan transaksinya dijalankan dengan pemantauan menerusi komputer riba atau telefon pintar.
Perluasan kewangan digital ini dilihat berupaya memberi kemampanan dari segi urus niaga dan pengurusan pelaburan dengan bijak serta dapat dipantau di mana sahaja pada bila-bila masa, selaras dengan dasar kerajaan untuk mendigitalkan urusan dan pentadbiran untuk kemudahan dan keselesaan rakyat.
Apapun pendekatan dan tindakan yang diambil, kesannya perlu dititikberatkan agar tidak melemahkan sistem keselamatan digital negara. Namun, penggunaan kewangan digital bertitik tolak kepada penerimaan rakyat dan kemudahannya bagi golongan berusia dalam menjadikannya satu keperluan di masa depan tanpa adanya fizikal dompet atau wang tunai.





