Artikel

Golongan pertengahan umur lebih ramai melabur?

Golongan pertengahan umur lebih ramai melabur?

Persiapan persediaan ke usia emas menjadi perhatian golongan pertengahan umur kerana merasakan kewangan yang stabil dan sihat perlu ketika usia yang akan berdepan dengan pelbagai risiko terutama penyakit.

Justeru itu, mungkin agak ramai yang lebih berumur seperti 45 tahun akan berminat menjadi pelabur. Ini kerana mengambil kira berapa pentingnya keperluan kewangan yang stabil bagi mempersediakan mereka menjelang 5 ke 10 tahun akan datang, atau pada usia persaraan. 

Apatah lagi bagi mereka yang tidak mempunyai zuriat yang akan menguruskan dan menjaga keperluan mereka kelak, dan bagi membantu untuk keselesaan mereka di hari tua ialah  dengan menabung dari sekarang melalui beberapa instrumen pelaburan dan antaranya ialah pelaburan saham. Besar atau kecil nilai sesuatu pelaburan itu menjadi matlamat untuk kestabilan hidup di masa depan dengan melibatkan perbelanjaan dari segi perubatan dan pengurusan diri. 

Lain pula dengan golongan di bawah usia 45 tahun, dikatakan hanya tujuh peratus yang memikirkan manfaat dalam pelaburan saham. Mungkin matlamat yang diletakkan tidak seperti golongan usia pertengahan, kerana beranggapan perjalanan hidup mereka masih panjang. Tetapi, keperluan yang diletakkan dalam pelaburan mungkin untuk kehidupan yang lebih terjamin dan selesa serta menyimpan hasrat untuk bersara awal. 

Menurut Profesor Madya Sr. Dr. Abdul Jalil Omar dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), ada kemungkinan nilai saham sesuatu syarikat di Bursa Malaysia yang mempunyai potensi tinggi mampu meningkat sehingga 100 peratus dalam masa setahun, ada kalanya saham syarikat meningkat melebihi 10 peratus sebulan. (https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/10/nilai-saham-boleh-naik-100-setahun/

Ini menunjukkan keupayaan pelaburan dalam pasaran saham tempatan yang dilihat boleh berkembang setanding pasaran antarabangsa. Namun, pelaburan saham bukanlah satu skim cepat kaya yang dijamin boleh memberikan pulangan berganda dalam masa beberapa bulan. Perlu diperbetulkan bahawa pelaburan saham adalah seperti kita melabur ke dalam sesuatu perniagaan lain seperti restoran, bengkel kereta ataupun pertanian.

Bezanya, di pasaran saham boleh diumpamakan dengan skala perniagaan sangat besar dan melibatkan pasaran dalam dan luar negara dengan pelaburan sehingga beratus juta ringgit, malah ada syarikat yang bernilai berbillion ringgit. Oleh itu, setiap pelabur perlu memahami dengan jelas tentang perniagaan syarikat yang ingin dilaburkan kerana setiap perniagaan akan terdedah kepada beberapa kemungkinan risiko-risiko perniagaan seperti masalah permintaan produk, pengurusan dalaman, kesan global, kekurangan sumber bahan mentah mahupun fenomena cuaca.

Tetapi, bagi pelaburan saham secara individu (private mandate) atau pelabur runcit (unit trust), dana yang dilaburkan akan diuruskan oleh Pengurus Dana yang bertauliah adalah mengikut kepada mandat dan strategi pelaburan bagi instrument ataupun dana tersebut. Bergantung kepada firma pengurusan dana kewangan itu sendiri, memandangkan setiap institusi pelaburan mempunyai mekanisma, strategi pelaburan dan pendekatan tersendiri. 

Pelaburan instrumen menambah pendapatan

Jelas Dr Abdul Jalil, pasaran saham boleh dijadikan sebagai satu alternatif pelaburan sebagai peluang untuk meningkatkan sumber pendapatan. Namun, kefahaman mengenai ciri-ciri serta risiko-risiko pelaburan daripada sumber rujukkan yang betul serta melakukan pelaburan secara bijak dengan memilih suatu pelaburan yang ada pengurusan risiko yang terkawal dapat memaksimakan pulangan dalam pelaburan saham.

Hakikatnya, setiap pelaburan tidak menjanjikan sebarang pulangan yang tinggi, sebaliknya menjadi pemangkin kepada ke arah kewangan yang stabil di masa depan. Bahkan, pelaburan dijadikan segelintir pelabur sebagai tabungan untuk menampung keperluan dan keinginan yang ingin dicapai. 

Namun, setiap pelaburan yang dilakukan memerlukan pemahaman yang padu mengenai segala risiko-risiko and juga kesabaran bagi mengukuhkan ekonomi peribadi di masa depan. Rancanglah kewangan dengan bijak melalui pengurusan dana yang berlesen dan juga instrumen kewangan yang sesuai dengan pelan pelaburan serta toleransi risiko
yang sejajar dengan matlamat pelaburan anda, demi kelangsungan hidup. 

share it :

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MY