Ketidakseimbangan garis pendapatan rakyat menunjukkan keupayaan ekonomi rakyat Malaysia yang tidak seragam dan sekata, membuatkan terdapat ketidakstabilan dalam menentukan keupayaan pendapatan penduduk. (https://www.utusan.com.my/berita/2024/03/rapatkan-jurang-pendapatan-rakyat/). Ini kerana jurang sosioekonomi terutama penduduk di luar bandar masih melebar dengan pendapatan kaum Bumiputera dilihat jauh ketinggalan. (https://www.kosmo.com.my/2024/03/07/dewan-rakyat-jurang-sosioekonomi-antara-etnik-masih-wujud-selepas-53-tahun/).
Malah, kadar kemiskinan mutlak kaum Bumiputera dilihat lebih tinggi dengan 7.9 peratus seperti yang diperjelaskan oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli pada Sidang Dewan Rakyat, Mac tahun lalu. Sampai bila harus ada ketidakseimbangan ekonomi ini dalam pengkelasan pendapatan, meskipun negara sudah mengorak langkah sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi.
Seharusnya, rakyat perlu bangkit memperbetulkan keupayaan pendapatan bagi memperkukuhkan ekonomi peribadi mahupun seisi rumah, agar mampu bergerak seiring dengan matlamat kerajaan untuk meletakkan negara sebaris dengan negara-negara berpendapatan tinggi lainnya, terutama Singapura.
Walaupun terdapatnya sumbangan kerajaan untuk golongan yang berpendapatan rendah, seharusnya mereka tidak seratus peratus bergantung dengan bantuan tersebut dengan memikirkan keperluan untuk meningkatkan dan memperkukuhkan ekonomi sendiri.
Secara amnya, tidak dinafikan ada yang menganggap bantuan yang diberikan adalah hasil daripada cukai daripada pendapatan rakyat. Oleh yang sedemikian, sebaiknya bantuan tersebut juga dibelanjakan untuk membantu menggiatkan ekonomi individu terbabit. Nescaya ia boleh membantu meningkatkan perolehan pendapatan negara, serta lebih memberikan manfaat kepada rakyat.
Belajar rebut peluang kukuhkan kewangan
Perkembangan teknologi terkini menyebabkan banyak pekerjaan yang telah diambil alih oleh automasi, sekali gus memberi tekanan kepada mereka yang bergantung kepada sumber pendapatan tradisional atau makan gaji.
Namun, jika tidak dimulakan langkah daripada sekarang, mungkin lebih ramai yang akan terperangkap dalam masalah pengagguran ataupun kemiskinan. Bersediakah kita menghadapi perubahan ini? Tanam matlamat dalam diri untuk merubah corak kewangan daripada hanya bergantung harap kepada pendapatan bergaji. Sebaliknya, meneroka peluang bagi menjana pendapatan kolektif menerusi pelbagai medium kewangan seperti pelaburan dan simpanan tetap jangka panjang.
Mungkin dengan langkah serta pendekatan bagi meningkatkan keupayaan kewangan melalui pelaburan dan simpanan ini dapat meningkatkan lagi ekonomi peribadi ke arah kewangan yang sihat dan stabil di masa depan. Rancanglah perbelanjaan anda dengan efisien agar dapat membuat tabungan demi kelestarian hidup sehingga ke usia tua. Pilih dana yang dikeluarkan oleh insitutsi kewangan yang berlesen serta yang diyakini berketerampilan dalam pasaran kewangan bagi mencapai matlamat kewangan yang stabil.
Bijak mencari peluang dengan memahami prospektus sesuatu pelaburan dan simpanan agar terjamin serta diperakui keberhasilannya. Usah terpedaya dengan janji manis yang tidak berasas kerana tidak ada jalan pintas dan mudah untuk berjaya.





