KUALA LUMPUR, 29 Nov – Setiap segmen pelaburan saham tidak menjanjikan pulangan kepada pelabur, memandangkan sentimen pelaburan yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk geopolitik dan kestabilan ekonomi, akan memberi kesan kepada pelaburan.
Namun, jika pelaburan yang dibuat melalui pasaran saham yang kompeten serta berdaya saing, tidak mustahil untuk sesuatu pelaburan itu menjana pulangan kepada pelabur. Hakikatnya, bergantung kepada Pengurus Dana Pelaburan dalam memainkan peranan bagi menentukan kelestarian pelaburan pelabur.
Pengurus Dana Bertauliah, Dato’ Dr Nazri Khan, berkata setiap pelabur perlu mengenali Pengurus Dana yang membuat pelaburan untuk mereka. Malah, Pengurus Dana perlu mempunyai falsafah dalam menjangkakan pulangan dan risiko pelaburan.
“Ini (Pengurus Dana) semua kena belajar. Adakah sebab dia dan kelemahan yang ada dalam Unit Dana Amanah (Unit Trust) itu menyebabkan orang lebih memilih Amanah Saham Bumiputera (ASB). Orang tahu rendah risiko walaupun faedah dia (ASB) rendah.
“Itu punca (kepercayaan) orang lebih memilih ASB daripada Unit Trust. Ya, orang memilih ASB sebab instrumen itu popular, dan alhamdulillah ASB telah menunjukkan rekod yang bagus,” katanya.
Jelas beliau, meskipun pulangan yang diraih pelabur tidak tinggi, namun, masih mampu memberikan faedah kepada pelabur setiap tahun dan dianggap Unit Dana Amanah yang terbaik berbanding produk seumpamanya di Malaysia.
“Masalah sekarang bukan masalah dengan ASB, tetapi ekosistem di Malaysia. Orang tidak ada pilihan untuk membuat pelaburan yang berupaya memberikan pulangan yang baik.
“Tetapi, alhamdulillah kita di Berjaya Mutual Berhad (dahulunya Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd) antara pulangan yang terbaik dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini. Jadi, ini juga menjadi pilihan yang boleh mereka (pelabur) pertimbangkan,” katanya yang juga Ketua Pegawai Pelaburan di Berjaya Mutual Berhad.





