Ramai daripada kita dimomokkan dengan tanggapan, andaian dan stigma yang membuatkan daya pemikiran kita tersekat di luar logik akal. Malas berfikir, tidak mahu mengambil tahu, bahkan menyelidiki sesuatu perkara menyebabkan ruang lingkup kita hanya sekadar setakat apa yang dicanang dan didengari.
Tetapi, pernahkah kita terfikir meskipun sedetik untuk merungkai persoalan mengapa telahan sedemikian wujud? Tidak ada seorang manusia di dunia ini mahukan hidupnya sekadar cukup makan, dan menolak peluang untuk lebih berkemampuan untuk menyimpan wang yang secukupnya.
Namun, apabila ditunjukkan kaedah yang berpotensi menjana pendapatan lebihan, contohnya melalui perdagangan saham di platform-platform yang berlesen di Malaysia, boleh dikatakan ramai daripada kita mengelak mungkin disebabkan agak skeptikal tentang perdagangan saham. Sebaliknya, apabila muncul tawaran pelaburan yang berasaskan skim cepat kaya yang melibatkan syarikat atau institusi yang tidak berlesen dan pelaburan berunsur ‘gharar’ (ketidakpastian), kaum Melayu paling ramai terjebak tanpa menghiraukan kesahihannya.
Pelik bukan? Lumrah naluri manusia mudah terpengaruh dengan pujuk rayu dan janji manis, apatah lagi mungkin mahu cepat bergelar jutawan. Anehnya, golongan sebegini tidak pula memikirkan soal risiko kerugian dan penipuan yang bakal dihadapi.
Tetapi, apabila membabitkan instrumen-instrumen pelaburan seperti saham, bon, serta emas yang boleh di beli melalui pasaran yang berdaftar, namun, ramai yang menganggap pelaburan sedemikian lebih sinonim dengan orang yang lebih berharta atau kaya.
MASIH BEKERJA DI USIA EMAS
Jangan sampai usia emas kita dihabiskan dengan kudrat yang tidak segagah dulu bagi mencari rezeki untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Bagi yang masih di usia belia atau Gen Z, ungkapan ‘joli sampai puas’ di fasa baru mengenal dunia ini bukanlah satu tindakan yang tepat. Tetapi, sudah perlu memikirkan soal kesenangan di hari tua dengan membuat persediaan awal sebaik melangkah ke alam pekerjaan.
Jika lambat memulakan simpanan untuk hari tua, penyesalan di kemudian hari. Bijak mengatur kewangan dan berbelanja dengan berhemah akan membantu masa depan yang lebih cerah.
Penyesalan bukanlah caranya, jika sedari awal lagi sudah mengamalkan pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Begitulah dengan kehidupan yang sepatutnya direncanakan sejak awal lagi. Jika ada inisiatif untuk lebih meningkatkan pengetahuan mengenai kaedah-kaedah pelaburan dari mereka yang bertauliah, ia berpotensi untuk merubah hidup ke arah yang lebih bermakna dan positif, dan mampu untuk menyimpan secara lebih efektif.
Penafian
Artikel ini adalah hasil pandangan peribadi penulis sebagai seorang pakar ekonomi dan tidak semestinya mencerminkan pendapat organisasi, institusi, atau pihak lain. Maklumat yang disediakan adalah bertujuan untuk pendidikan dan perkongsian umum sahaja, dan tidak harus dianggap sebagai nasihat kewangan, pelaburan, atau profesional. Pembaca digalakkan mendapatkan nasihat daripada pakar yang bertauliah sebelum membuat sebarang keputusan berdasarkan maklumat dalam artikel ini.





