KUALA LUMPUR, 13 Nov – Pelaksanaan e-invoice yang diperkenalkan kerajaan sejak Ogos lalu dapat mengesan golongan yang dikelaskan sebagai T15, namun, tidak pernah membayar cukai.
Jelas Penganalisis Ekonomi, Dato Dr Nazri Khan, langkah itu dapat mengesan mereka yang terbabit dalam shadow economy (ekonomi bayangan) yang tidak dapat dikesan kerajaan, tetapi mempunyai pendapatan lebih RM1 juta setahun.
Katanya, kebanyakkan golongan ini berurusan secara digital dan tindakan kerajaan memperkenalkan lesen digital juga dianggap tepat bagi mengenal pasti jumlah pengikut, demografik serta keuntungan yang diraih.
“Antara kelebihan e-invoice ini, rakyat boleh belajar tentang cukai dan akan mengurangkan scam. Kalau ada invoice, tidak akan ada orang boleh keluarkan invoice palsu.
“Untuk tempoh masa panjang, ia akan meningkatkan efisiensi dan juga ketelusan, terutama bagi mengurangkan the shadow economy di Malaysia. Daripada RM300 bilion, mungkin akan tinggal RM3 bilion pendapatan mereka,” katanya.
Dr Nazri Khan berkata, dengan adanya e-invoice akan memudahkan rakyat untuk melaporkan cukai dan mengetahui jumlah pendapatan serta perbelajaan yang dibuat sepanjang tahun.
“Kita sudah tahu berapa pendapatan kita, perbelanjaan dan sebagainya. Jadi, kita nak merekodkan cukai pendapatan akan menjadi mudah. Jika sebelum ini mereka menggunakan khidmat akauntan, pakar percukaian, mungkin selepas ini mereka sudah boleh buat sendiri,” katanya.





