Artikel

Ekonomi dunia beri impak limpahan kepada Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Pergolakan kuasa besar ekonomi dunia yang berlaku akan memberi limpahan kepada ekonomi negara, seperti yang pernah berlaku ketika era 1980-an hingga 1990-an.

Penganalisis Ekonomi, Dato Dr Nazri Khan, berkata ketika dekad itu, ekonomi Malaysia berkembang pesat akibat pertembungan kuasa ekonomi antara Jepun dan Amerika Syarikat.

“Dahulu, Jepun dengan Amerika Syarikat bergaduh. Jadi, semua orang mahu memisahkan daripada Jepun, semua orang mahu mengurangkan risiko  daripada Jepun. Benda yang sama berlaku sekarang. Semua orang mahu memisahkan daripada China, sebab China dengan Amerika Syarikat bergaduh.

“Jadi, ini akan memberi limpahan yang sama kepada negara, macam mana kita dapat rahmat daripada Jepun pada tahun 1987. Malaysia patut mainkan peranan yang penting, dengan langkah kerajaan sekarang yang mahu sertai BRICS,” katanya.

Dato Dr Nazri Khan menambah, tindakan Malaysia menyertai BRICS adalah langkah yang tepat, memandangkan separuh daripada populasi dunia datangnya daripada gabungan tersebut.

Jelasnya, ramai yang tidak faham dan ragu-ragu mengenai penyertaan negara dalam gabungan itu disebabkan tiada terjemahan kepada produktiviti negara.

“Kita kena letakkan diri kita sebagai hab untuk China, Rusia dan sekarang kita jadi hab halal untuk Timur Tengah, tetapi, itu tidak cukup. Kita harus menjadi hab untuk China, kalau boleh hab untuk Amerika Syarikat dan Eropah.

“Memang agak sukar, tetapi, tidak mustahil untuk kita lakukan. Jadi, ini yang kita perlu mainkan peranan dan saya rasa banyak faktor kita tidak boleh kawal. Sebab itu, campur tangan kerajaan sangat penting,” katanya yang mahu kerajaan belajar daripada sejarah lalu negara.

share it :

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MY