KUALA LUMPUR, 25 Nov – Pelaburan Langsung Asing (FDI) Malaysia mengalami pertumbuhan yang memberangsangkan, menunjukkan pengukuhan ekonomi negara yang didokong oleh sentimen pelabur-pelabur luar, yang mencapai RM200 bilion setakat setengah tahun 2024.
Penganalisis Ekonomi, Dato’ Dr Nazri Khan, berkata peningkatan 20 peratus pelaburan itu adalah petanda baik di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disamping tindakan kolektif Donald Trump selepas dipilih menerajui Amerika Syarikat.
Jelas beliau, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia perlu memainkan peranan penting dalam menyatupadukan ekonomi ASEAN agar tidak terlalu bergantung kepada Amerika Syarikat dan tidak menumpukan kepada jalinan kerjasama dengan China.
“Kita harus mencari rakan dagang yang baharu untuk ASEAN seperti Jepun, Korea Selatan, Australia dan mungkin negara-negara Amerika Latin serta Timur Tengah, selain daripada memuatkan intra-ASEAN semata-mata.
“Jangan terlalu menampakkan hubungan dengan China, tetapi, blok-blok baharu ekonomi. Benua Afrika mungkin kelihatan tidak kaya, tetapi, sebenarnya ada banyak sumber yang boleh kita gunakan. Itu cadangan saya untuk kita mencari alternatif lain dari segi destinasi eksport,” katanya.
Dr Nazri Khan berkata, Malaysia juga perlu membangunkan sektor-sektor strategik seperti Ekonomi Kecil dan Sederhana (SME), terutama elektrikal dan elektronik serta semikonduktor.
Katanya, Malaysia perlu berbalik kepada asas iaitu berdaya saing dan berketerampilan dalam membangunkan ekonomi, agar berupaya mendepani cabaran global dengan sentimen Trumponomics.
“Daya saing Malaysia sekarang sudah jatuh. Kalau kita tengok kedudukan kita dalam Institute for Management Development (IMD), World Competitiveness Malaysia tahun 2024 kita jatuh. Dari kedudukan ke-7, sekarang di tangga ke-8 pada tahun lepas. Jadi, kita perlu tingkatkan kembali daya saing kita di peringkat global,” katanya.





