Artikel

Langkah kerajaan Johor ‘gemokkan’ pendapatan pertengahan ke arah Diamond-shape Society

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Diamond-shape Society (kelas pendapatan berlian) yang diuar-uarkan Penganalisis Ekonomi, Dato Dr Nazri Khan mungkin dapat direalisasikan, apabila kerajaan Johor bercadang menaikkan gaji minimum rakyat yang berkelulusan diploma kepada RM4,000.

Langkah itu dilihat satu tindakan tepat bagi menaikkan taraf hidup rakyat serta ekonomi negeri, apatah lagi terpaksa bersaing dengan pendapatan rakyat negara jiran yang jauh lebih tinggi.

Dr Nazri Khan berpandangan, kerajaan Johor menjadi trendsetter yang akan melahirkan bakat-bakat yang berketerampilan dan meningkatkan produktiviti dengan memotivasikan pekerja.

Beliau berkata, jika perancangan tersebut berhasil, negeri-negeri lain perlu mengikuti langkah yang dibuat kerajaan Johor bagi mengharmonikan pendapatan dan taraf hidup rakyat ke arah yang lebih stabil.

Jika sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat menekankan mengenai kadar gaji minimum yang dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700, Dr Nazri Khan menambah, kerajaan Johor dilihat jauh ke depan.

“InsyaAllah, dengan langkah yang dibuat kerajaan Johor itu akan menghasilkan bakat yang kompeten serta bernilai tinggi dan pada masa sama, syarikat-syarikat di Johor juga kena fikir macam mana mahu kurangkan kos apabila gaji pekerja dinaikkan.

“Ini juga akan memastikan kita ada kuasa beli yang bagus, mungkin juga akan melibatkan sektor hartanah. Saya harap ini akan menjadi corak permulaan (kick-start pattern) untuk melahirkan lebih ramai Diamond-shape Society,” katanya.

Tambah beliau, langkah itu juga akan menarik minat rakyat Malaysia yang bekerja di seberang tambak untuk pulang berkhidmat dalam negara, andai gaji yang ditawarkan selari dengan pendapatan yang diperoleh di Singapura.

share it :

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MY