Ramai yang meletakkan harapan mendapatkan keuntungan dalam suatu pelaburan tanpa memikirkan risiko-risiko pelaburan yang perlu dihadapi, nilai pelaburan yang harus dilaburkan dan tempoh jangka masa yang perlu dinantikan bagi menampakkan hasilnya. Hanya yang bermain di fikiran, bilakah dan mampukah pelaburan membantu memampankan ekonomi dan membantu menambahkan pendapatan?
Hakikat sebenar, pelaburan sama ada dalam bentuk saham, bon, ekuiti mahupun hartanah adalah aset yang memerlukan kesabaran, memahami risiko-risiko yang berkemungkinan dan juga mengetahui apakah jenis pelaburan yang sesuai dengan wang atau simpanan yang ada, sebelum mengecapi nilai yang dituai kelak.
Tanpa kita sedar, banyak yang perlu dilalui dan difahami sebelum bertindak untuk menyimpan impian bergelar jutawan atau hartawan. Ini kerana, pelaburan tidak menjanjikan sebarang bentuk keuntungan berganda, tempoh masa yang singkat dan kekayaan.
Tidak ada sebarang pelaburan yang memberikan jaminan untuk menjadikan seseorang itu kaya, melainkan usaha dan tindakan individu itu sendiri dalam menentukan hala tuju pelaburan yang ingin dibuat. Jika ingin hidup selesa di masa hadapan dengan mempunyai kewangan yang lebih stabil, mungkin pelaburan adalah salah satu peluang yang menjadi pilihan.
Tetapi, jangan menyandarkan angan-angan untuk hidup mewah kerana setiap jenis pelaburan ada risikonya tersendiri. Contohnya pelaburan dalam hartanah, ramai yang menjadikannya sebagai aset untuk kewangan masa depan. Namun, berapa ramai daripada kita yang berjaya menjual aset hartanah milik kita dengan harga yang tinggi? Ini kerana ia bergantung kepada permintaan dan lokasi hartanah.
Malah, ada dalam kalangan pemilik hartanah yang menanggung kerugian kerana sukar mencari pembeli disebabkan oleh lokasi dan faktor geografi yang mudah terdedah kepada bencana alam. Akhirnya, aset yang dimiliki terbiar usang tanpa berpenghuni menyebabkan nilai hartanah merudum.
Keampuhan pelaburan saham
Oleh itu, tidak boleh meletakkan sebarang tanggapan terhadap sesuatu pelaburan. Keuntungan adalah sesuatu yang subjektif dan ia bergantung kepada keupayaan sesuatu pelaburan atau pasaran sama ada ia berketerampilan ataupun berdaya saing dalam pasaran.
Ada yang menganggap pelaburan saham adalah satu mekanisme efektif bagi melipat gandakan kewangan. Tidak kurang juga yang menjadikan pelaburan saham sebagai langkah untuk menstabilkan kewangan masa depan. Bergantung kepada tanggapan dan pemikiran setiap orang kerana matlamat pelaburan setiap orang adalah berbeza-beza.
Soal untung atau rugi sesuatu pelaburan perlu dititikberatkan sebelum mengambil sebarang tindakan, jangan sampai merasakan tindakan yang dilakukan sesuatu yang sia-sia dan merugikan. Ingat, tentukan potensi dan kesihatan kewangan anda terlebih dahulu sebelum bertindak untuk menjadi pelabur.
Paling penting, selidiki dan fahami setiap konsep pelaburan dan risiko yang perlu dihadapi. Cari peluang mendapatkan pandangan dan rujukan daripada yang pakar dan arif mengenai selok belok pelaburan. Jangan mudah terpedaya dengan pelaburan jangka pendek yang menjanjikan keuntungan berganda, takut kelak menyesal tiada kesudahan.





